السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُه ُ

Renungan Pagi Selasa
22 Sya'ban1436H
9 Jun 2015

🌾AKSES VVIP KE SYURGA BERNAMA AR RAYYAN

عن سهل بن سعد رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قَالَ: ((إنَّ في الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ: الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَومَ القِيَامَةِ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يقال: أيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَقُومُونَ لا يَدخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ)). متفقٌ عَلَيْهِ.

TERJEMAHAN
Dari Sahl bin Sa'ad رضي الله عنه dari Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu/laluan dinamakan "Ar Rayyan". Orang yang berpuasa memasuki syurga melalui pintu ini pada hari Kiamat yang mana tidak ada orang lain dibenarkan melalui pintu ini kecuali mereka yang berpuasa sahaja. Ditanyakan (di Akhirat nanti) : Di manakah orang-orang yang berpuasa? Mereka pun berdiri. Tidak boleh memasuki pintu tersebut kecuali mereka. Apabila kesemua orang berpuasa telah masuk maka ditutup pintu itu dan tiada siapa lagi yang akan melaluinya lagi." (Mafhum HR Al Bukhari dan Muslim)

PENGAJARAN
1. Orang Islam yang mengerjakan puasa wajib (Ramadhan) di dunia dengan sebaiknya akan mendapat tempat yang istimewa di Akhirat disamping dapat melalui laluan syurga melalui pintu/laluan VVIP bernama "Ar Rayyan"
2. Ar Rayyan bermaksud kelegaan/ kepuasan. Kata Syeikh Ibnu Uthaimin: Dinamakan Ar Rayyan (kelegaan) kerana orang berpuasa berasa lega setelah menikmati hidangan air ketika berbuka puasa lebih-lebih lagi jika berpuasa pada musim panas yang panjang. Imam An Nasa'i melaporkan: "Sesiapa yang memasukinya tidak akan dahaga lagi buat selama-lamanya",
3. Allah Ta'ala memuliakan hamba-hambaNya yang berpuasa kerana mereka  diuji dengan pelbagai dugaan seperti lapar, dahaga, kepenatan dan sebagainya,
4. Diulang: "Tidak boleh memasuki pintu tersebut kecuali mereka" untuk menguatkan hanya orang berpuasa sahaja yang layak memasuki laluan Ar Rayyan.