MEMENUHI JANJI BAGI PIHAK ORANG LAIN
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ
Renungan Pagi Isnin
16 Jamadulakhir 1436H
6 April 2015
🌷
عن جابر رضي الله عنه قال: قَالَ لي النبيُّ صلى الله عليه وسلم: ((لَوْ قَدْ جَاءَ مَالُ الْبَحْرَيْنِ أعْطَيْتُكَ هكَذَا وَهَكَذَا)) فَلَمْ يَجِئْ مَالُ الْبَحْرَينِ حَتَّى قُبِضَ النبي صلى الله عليه وسلم فَلَمَّا جَاءَ مَالُ الْبَحْرَيْنِ أمَرَ أَبُو بَكْرٍ رضي الله عنه فَنَادَى: مَنْ كَانَ لَهُ عِنْدَ رسول الله صلى الله عليه وسلم عِدَةٌ أَوْ دَيْنٌ فَلْيَأتِنَا، فَأتَيْتُهُ وَقُلْتُ لَهُ: إنَّ النَّبيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لي كَذَا وَكَذَا، فَحَثَى لي حَثْيَةً فَعَدَدْتُهَا، فَإذَا هِيَ خَمْسُ مِائَةٍ، فَقَالَ لِي: خُذْ مِثْلَيْهَا. متفقٌ عَلَيْهِ.
TERJEMAHAN
Dari Jabir رضي الله عنه melaporkan: sabda RasululLah صلى الله عليه وسلم kepadaku: "Jika telah sampai harta dari negeri Al Bahrain maka aku akan memberimu sebanyak sekian." Tetapi harta dari Bahrain itu tidak pernah sampai sehinggalah kewafatan Nabi صلى الله عليه وسلم. Apabila Abu Bakar memegang tampuk pemerintahan harta dari Al Bahrain telah sampai dan beliau menitahkan: Barangsiapa yang Nabi صلى الله عليه وسلم pernah ada janji atau hutang yang belum ditunaikan maka datanglah kepada kami untuk menuntut." Aku pun datang menemuinya dan menyatakan Nabi pernah berjanji sekian-sekian. Lalu Abu Bakar memberikan sejumlah harta dan bila aku kira jumlahnya adalah sebanyak lima ratus dirham. Maka Abu Bakar berkara: Ambillah dua kali ganda daripada jumlah itu. (Mafhum HR Al Bukhari dan Muslim)
PENGAJARAN
1. Kemurahan hati RasululLah yang cuba membantu para Sahabat yang susah walaupun dengan harta yang belum sampai ke tangan Baginda,
2. Dibenarkan untuk menunaikan janji yang tidak kesampaian bagi pihak orang lain yang telah meninggal dunia bahkan perbuatan tersebut adalah terpuji,
3. Saidina Abu Bakar sangat komited dalam melaksanakan amanah tanpa meminta sebarang bukti untuk menunaikan janji Nabi صلى الله عليه وسلم.