السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُه
22 Ramadhan 1436
9 Julai 2015
🌾BACAAN DOA YANG MA'THUR KETIKA BERTEMU LAILATUL QADR🌙
عن عائشة رضي اللّه عنها قالت: قُلْتُ: يَا رسول الله، أَرَأَيْتَ إنْ عَلِمْتُ أيُّ لَيلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: ((قُولِي: اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنّي)). رواه الترمذي، وقال: (حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحيحٌ).
TERJEMAHAN
Dari A'isyah رضي اللّه عنها melaporkan: Saya bertanya: Wahai RasululLah, apa pandanganMu jika saya mengetahui malam itu adalah Lailatul Qadr, apakah yang sepatutnya saya katakan (semasa berdoa)? Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: "Ucapkanlah: Ya Allah sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun maka ampunkanlah segala dosa kesalahanku." (Mafhum HR At Tirmidzi, katanya hadith hasan sahih)
PENGAJARAN
1. Walaupun umur umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم tidaklah terlalu panjang iaitu antara 60 hingga 70 tahun tetapi setiap kali datangnya Ramadhan mereka dianugerahkan dengan Lailatul Qadr yang mana pahala beramal pada malam tersebut melebihi pahala ibadah 1000 bulan (83 tahun),
2. Namun mereka perlu berusaha lebih untuk bertemu dengan Lailatul Qadr. Kata Ulamak: Hikmah disembunyikan bila berlakunya Lailatul Qadr adalah supaya manusia berterusan dalam ibadah mereka di malam-malam akhir Ramadhan kerana jika sudah ditentukan masanya sudah tentu manusia hanya tumpu ibadah pada malam tersebut sahaja dan tidak pada malam lainnya (sama seperti disembunyikan waktu mustajab doa pada hari Jumaat),
3. Antara doa ma'thur (iaitu doa yang dianjurkan oleh RasululLah) pada malam Al Qadr adalah memperbanyakkan bacaan doa: اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنّي (yang bermaksud: Ya Allah sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun maka ampunkanlah segala dosa kesalahanku). Mudah-mudahan dengan doa tersebut dapat membersihkan dosa sama ada yang disedari atau tidak disedari. Di samping itu boleh juga berdoa dengan doa-doa yang lain.