السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Renungan Pagi Rabu
28 Ramadhan 1436
15 Julai 2015
👍ADAB-ADAB MENYAMBUT HARI RAYA
Antara adab (sunnah) yang elok diamalkan ketika menyambut hari raya adalah:
1. Mandi, berwangi-wangian, memakai pakaian yang indah sebelum pergi ke masjid,
2. Disunatkan hadir lebih awal ke masjid pada pagi hari raya,
3. Disunatkan untuk menjamah sedikit makanan pad pagi Eidul Fitri sebelum keluar untuk solat hari raya. Adapun untuk Eidul Adha disunatkan untuk tangguh makan sehingga kembali dari solat sunat Eidul Adha,
4. Disunatkan berjalan kaki menuju ke tempat solat (musalla) atau masjid mengikut satu jalan. Kemudian pulang mengikut jalan yang lain. Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari, dari Jabir رضي اللّه عنه melaporkan: "Adalah Nabi صلى الله عليه وسلم bila pulang dari solat hari raya, baginda akan mengikut jalan yang lain. Hikmah adalah untuk bertemu dengan lebih ramai orang bagi mengeratkan silaturahim,
5. Makruh bagi imam melakukan solat sunat sebelum solat hari raya. Namun tidak makruh bagi makmum untuk solat sunat dengan syarat dilakukan selepas terbitnya matahari (syuruk). Diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari, dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما: "bahawasanya Nabi صلى الله عليه وسلم keluar untuk solat sunat dua rakaat hari raya dan baginda tidak mengerjakan solat sunat sebelum dan selepasnya."
(Dipetik daripada kitab Al Fiqh Al Manhaji 'Ala Mazhab Al Imam Asy Syafi'e, Jilid Satu)
Semoga kita mendapat pahala yang sempurna dengan mengamalkan adab hari raya.