السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Renungan Pagi Khamis
29 Ramadhan 1436
16 Julai 2015

🌾STATUS HUKUM SOLAT JUMAAT JIKA HARI RAYA BERLAKU PADA HARI JUMAAT

Mukaddimah
Boleh jadi pada tahun ini hari raya Eidulfitri akan jatuh pada hari Jumaat (17 Julai 2015) berdasarkan imkan al-ru’yah atau sebaliknya mengikut apa yang akan diumumkan secara rasminya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Hukum Solat Jumaat

Sepertimana yang dimaklumi, solat Jumaat adalah wajib bagi mereka yang mencukupi segala syaratnya sepertimana firman Allah (yang bermaksud): "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Surah al-Jumu’ah: 9)

Hukum Solat Hari Raya

Solat hari raya ialah sunat muakkad. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.

Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Idil Fitri Berlaku Pada Hari Jumaat

Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat. Mereka masing-masing mengemukakan hujah.

Pendapat Pertama: Solat Jumaat tetap wajib sekalipun telah dilakukan Solat Hari Raya. Ini kerana solat Jumaat asalnya adalah wajib berdasarkan nas di atas. Justeru, sekalipun sudah dilakukan solat Hari Raya, solat Jumaat tetap wajib. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian daripada Hanabilah.

Pendapat kedua: Hukumnya sunat Solat Jumaat bagi mereka yang telah melaksanakan Solat Hari Raya. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanbali.

Tarjih (Pendapat yang lebih kuat):

Kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang MEWAJIBKAN solat Jumaat sekalipun terdapat dalil yang sebaliknya.

Cadangan dan Saranan

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mencadangkan kepada para imam yang bertugas pada hari Jumaat jika berbetulan pada Hari Raya hendaklah memendekkan khutbah Jumaat dan meringkaskannya dengan meraikan segala rukun. Ini kerana, khutbah fungsinya memberi nasihat dan peringatan sedangkan di waktu pagi ketika solat Hari Raya sudah dikhutbahkan dengan panjang lebar. Justeru, meringkaskan khutbah akan menenangkan jiwa para jemaah solat Jumaat sepertimana yang dimaklumi pada Hari Raya masing-masing mempunyai banyak agenda ziarah menziarahi dan menerima tetamu. Ini juga menandakan kefaqihan seseorang imam.

(Dipetik dan diringkaskan daripada Risalah Bayan Linnas Siri ke-32 oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan. Untuk detail: http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=419:hukum-solat-jumaat-jika-hari-raya-idil-fitri-berlaku-pada-hari-jumaat&catid=42&Itemid=334)