PUASA SEBAGAI PELINDUNG DIRI
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُه ُ
Renungan Pagi Sabtu
19 Sya'ban1436H
6 Jun 2015
☔PUASA SEBAGAI PELINDUNG DIRI
عن أَبي هريرة رضي الله عنه قال: قَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم:((قَالَ اللهُ- عز وجل:..وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، فَإذَا كَانَ يَومُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلا يَرْفُثْ وَلا يَصْخَبْ، فإنْ سَابَّهُ أحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ: إنِّي صَائِمٌ...)) رواه مسلم
TERJEMAHAN
Dari Abu Hurairah رضي الله عنه melaporkan: sabda RasululLah صلى الله عليه وسلم:"Firman Allah 'Azza wa Jalla (dalam hadith qudsi)... Puasa adalah perisai. Oleh itu pada hari yang seseorang kamu berpuasa maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata keji dan kesat. (Hatta) jika ada orang yang memaki hamun atau mengajaknya bergaduh maka hendaklah dia katakan: Sesungguhnya aku sedang berpuasa..." (Mafhum HR Al Bukhari)
PENGAJARAN
1. Ibarat seorang tentera yang mempersiapkan diri dengan kelengkapan menentang musuh, orang yang berpuasa adalah seorang yang melengkapkan dirinya dengan perisai yang dapat melindunginya daripada tipu daya hawa nafsu dan godaan syaitan yang jahat,
2. Kata Ibnu Al 'Arabi: Puasa merupakan perisai daripada azab neraka kerana orang yang berpuasa menahan diri daripada mengikut syahwat kerana neraka itu dihiasi oleh syahwat. Berkata Ibnu Hajar: Maka hasilnya jika seorang dapat menegah diri daripada mengikut telunjuk hawa nafsu di dunia, maka ia merupakan perisai daripada azab neraka di Akhirat.
3. Tiadalah kejayaan yang terbesar di Akhirat selain daripada selamat daripada neraka dan layak untuk menduduki syurga dengan segala kenikmatannya.