AMALAN YANG MENGHAPUSKAN DOSA DAN MENAIKKAN DARJAT DI SISI ALLAH


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُه ُ

Renungan Pagi Jumaat
18 Sya'ban1436H
5 Jun 2015

🍃AMALAN YANG MENGHAPUSKAN DOSA DAN MENAIKKAN DARJAT DI SISI ALLAH

عن أَبي هريرة رضي الله عنه قال: قَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم:
((ألا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللهُ بِهِ الخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ؟)) قَالُوا: بَلَى، يَا رسولَ اللهِ، قَالَ: ((إِسْبَاغُ الوُضُوءِ عَلَى المَكَارِهِ، وَكَثْرَةُ الخُطَا إِلَى المَسَاجِدِ، وَانْتِظَارُ الصَّلاةِ بَعْدَ الصَّلاةِ فَذلِكُمُ الرِّبَاطُ)). رواه مسلم.

TERJEMAHAN
Dari Abu Hurairah رضي الله عنه melaporkan: sabda RasululLah صلى الله عليه وسلم: "Mahukah kamu semua aku tunjukkan amalan yang Allah akan menghapuskan dengannya kesalahan-kesalahan (dosa) dan meninggikan kedudukan (di sisi Allah)?" Para Sahabat menjawab: Bahkan ya, wahai RasululLah. Baginda bersabda: "Sempurnakan wudhu' walaupun dalam keadaan susah, memperbanyakkan langkah ke masjid dan menunggu solat berikutnya selepas satu solat didirikan. Maka itu merupakan pertahanan bagi kamu." (Mafhum HR Muslim)

PENGAJARAN
1. Orang yang sanggup menyempurnakan wudhu'nya walaupun dalam keadaan kesusahan seperti kesejukan air pada musim dingin merupakan tanda keimanan yang mantap kerana masih sanggup melaksanakan perintah Allah walaupun susah,
2. Setiap langkahan kaki menuju ke masjid mempunyai nilai di sisi Syara'. Oleh yang demikian semakin jauh seorang Mukmin melangkah ke masjid maka semakin besarlah ganjaran yang bakal diperoleh,
3. Orang yang sudah bersolat fardhu kemudian sanggup menunggu di masjid untuk solat fardhu berikutnya merupakan tanda kecintaannya terhadap perintah solat. Sepertimana Nabi menjadikan solat itu sebagai buah hati Baginda,
4. Mereka yang mempunyai ketiga-tiga perkara di atas telah mempunyai benteng yang kuat untuk menghadapi jihad melawan hawa nafsu/ syaitan yang merupakan antara jihad terbesar.