SIAPA YANG DIKATEGORIKAN SEBAGAI MATI SYAHID?

السَّلاَم ُعَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُه
Renungan Pagi Ahad
15 Rabiulawal 1437
27 Disember 2015


عن أَبي هريرة رضي الله عنه قال: قَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ وَالمَبْطُونُ، وَالغَرِيقُ، وَصَاحِبُ الهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ في سَبِيلِ اللهِ)). متفقٌ عَلَيْهِ.

TERJEMAHAN
Dari Abu Hurairah رضي الله عنه melaporkan: sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: "Orang-orang yang mati syahid ada lima: 1) mati kerana penyakit ta'un, 2) mati kerana sakit dalam perut, 3) mati kerana tenggelam (lemas), 4) mati kerana dihempap, dan 5) mati dalam peperangan fisabilillah." (Mafhum HR Al Bukhari dan Muslim)

PENGAJARAN
1. Golongan di atas dikategorikan sebagai mati syahid kerana mereka terpaksa menempuh kesakitan yang amat sangat sebelum menemui ajal yang mana dengan kesakitan tersebut diharapkan dapat menghapuskan dosa dan menambahkan pahala,
2. Kata Al Hafiz Ibnu Hajar: Seseorang turut dikategorikan sebagai syahid apabila dia menghadapi apa-apa kesakitan, penderitaan sebelum ajal seperti kemalangan di jalan raya, ibu yang meninggal ketika bersalin, diserang haiwan buas, mati dalam kebakaran, jatuh dari puncak bukit dan sebagainya,
3. Walau bagaimanapun status syahid berbeza-beza tahapnya (syahid dunia dan syahid akhirat) yang mana mati syahid kerana berjuang di jalan Allah mendapat pahala tertinggi disamping jasadnya tidak perlu dimandikan sebelum disolatkan dan disemadikan. Adapun syahid yang lain jenazah mereka diuruskan seperti biasa dan bakal mendapat pahala di akhirat,
4. Kata Ibnu Taimiyah: Syarat mendapat syahid tidak boleh ada tujuan maksiat seperti seorang yang mati kemalangan dalam perjalanan ke tempat maksiat.