السَّلاَم ُعَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُه
Renungan Pagi Rabu
11 Rabiulawal 1437
23 Disember 2015
عن فَضَالَةَ بنِ عُبَيْدٍ رضي الله عنه قال: سَمِعَ رسول الله صلى الله عليه وسلم رَجُلًا يَدْعُو في صَلاَتِهِ لَمْ يُمَجِّدِ الله تَعَالَى، وَلَمْ يُصَلِّ عَلَى النبي صلى الله عليه وسلم فَقَالَ رسُولُ الله صلى الله عليه وسلم: ((عَجِلَ هَذَا)) ثُمَّ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ- أَوْ لِغَيْرِهِ: ((إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ رَبِّهِ سُبْحَانَهُ، وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النبي صلى الله عليه وسلم ثُمَّ يَدْعُو بَعْدُ بِمَا شَاءَ)). رواه أَبُو داود والترمذي، وقال: (حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحيحٌ).
TERJEMAHAN
Dari Fadhalah bin Ubaid رضي الله عنه: Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah mendengar seorang lelaki berdoa dalam solatnya tanpa memuji Allah dan berselawat kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم menegur: "Lelaki ini terburu-buru." Maka Baginda memanggilnya lalu bersabda kepadanya atau (syak perawi) kepada orang lainnya: "Apabila seseorang kamu berdoa maka hendaklah ia mulakan dengan memuji Allah dan membesarkanNya kemudian berselawat kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, kemudian berdoalah dengan apa yang dikehendakinya selepas itu." (Mafhum HR Abu Daud dan At Tirmidzi, katanya hadith hasan sahih)
PENGAJARAN
1. Antara adab yang perlu diraikan dalam berdoa adalah dimulakan dengan pujian bagi Allah dan berselawat kepada NabiNya صلى الله عليه وسلم yang mana hukumnya adalah sunat,
2. Kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiah: Berselawat kepada Nabi adalah antara cara terbaik supaya doa mudah diqabulkan Allah. Ini kerana selawat Nabi adalah suatu suruhan Allah yang dianjurkan oleh Al Quran dan As Sunnah sebagaimana firman Allah dalam Surah Al Ahzab: ayat 56 (yang bermaksud): "Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu serta ucapkanlah salam kepadaNya."